18 Julai, 2010
MAAFKAN
AKU WAHAI SUAMI...
Dua bilah kayu disatukan dengan paku. Dua ketul bata disatukan dengan
simen. Dua hati di satukan dengan apa? Jawabnya, dengan iman. Dua hati
yang beriman akan mudah disatukan. Jika dua hati mengingati yang SATU,
pasti mudah keduanya bersatu. Begitulah dua hati suami dan isteri, akan
mudah bersatu bila iman di dalam diri masing-masing sentiasa disuburkan.
Bukan
tidak pernah terguris. Bukan tidak pernah bertelagah. Tetapi jika di
hati sama-sama masih ada ALLAH, perdamaian akan mudah menjelma semula.
Yang bersalah mudah meminta maaf. Yang benar mudah memberi maaf. Tidak
ada dendam memanjang. Masam cuma sebentar. Pahit hanya sedikit. Itulah
yang ditunjuk oleh teladan rumah tangga Rasulullah s.a.w. Ada ribut…
tetapi sekadar di dalam cawan. Ada gelombang… tetapi cepat-cepat menjadi
tenang.
Jika paku boleh berkarat, simen boleh retak, maka begitulah iman, boleh
menaik dan menurun. Iman itu ada “virusnya”. Virus iman ialah ego
(takbur). Jangan ada takbur, cinta pasti hancur. Orang takbur merasa
dirinya lebih mulia, pasangannya lebih hina. Jika demikian, manakah ada
cinta? Cinta itu ibarat dua tangan yang saling bersentuhan. Tidak ada
tangan yang lebih bersih. Dengan bersentuhan, keduanya saling
membersihkan. Tetapi ‘tangan’ yang ego, tidak mahu bersentuhan… Konon
takut dikotorkan oleh tangan yang lain!
Bila berbeza pandangan,
pandangannya sahaja yang benar. Kau isteri, aku suami. Aku ketua, kau
pengikut. Aku putuskan, kau ikut saja. Jangan cuba menentang. Menentang
ertinya dayus. Maka terkapa-kapalah sang isteri tanpa boleh bersuara
lagi. Sedikit cakap, sudah dibentak. Senyap-senyap, isteri menyimpan
dendam. Suami ‘disabotaj’nya dalam diam. Tegur suami, dijawabnya acuh
tak acuh. Senyumnya jadi tawar dan hambar. Perlahan-lahan, jarak hati
semakin jauh. Cinta semakin rapuh.
Ada pula isteri yang ego.
Heroin sudah mengaku hero. Suami dicaturnya satu-satu. Tidak jarang
meninggikan suara. Silap suami yang sedikit didera dengan rajuknya yang
panjang. Anak-anak dibiarkan. Dapur berselerak. Pinggan mangkuk tidak
dibasuh. Kain baju sengaja disepah-sepahkan. Rasakan akibat menentang
aku. Mengaku salah tidak sekali. Minta maaf? Pantang sekali!
Ego
sisuami selalunya terserlah. Boleh dilihat daripada jegilan mata dan
suara yang meninggi. Mungkin pintu dihempaskan dengan kuat atau hon
kereta ditekan bertalu-talu. Atau boleh jadi diherdik siisteri di
hadapan anak-anak atau isteri diperleceh di hadapan saudara mara atau
tetamu yang datang. Bila ramai yang datang bertandang itulah masa
sisuami yang ego ini menunjukkan kuasa dan belangnya.
Ego
siisteri terpendam. Mungkin kerana tidak ada dominasi kuasa atau
keberanian, siisteri menunjukkan egonya dengan bermacam-macam-macam
ragam. Daripada sengaja melaga-lagakan pinggan yang dibasuh… sehinggalah
memalingkan badan dan muka ketika di tempat tidur.
Alhasil,
cuaca rumah tangga menjadi muram. Rumah hanya jadi ‘house’ tidak jadi
‘home’ lagi. Tidak ada keceriaan, kehidupan dan kemanisannya lagi.
Semuanya bungkam. Ya, rumah (house) dibina dengan batu, kayu dan
konkrit, manakala rumah tangga (home) dibina dengan kasih sayang, cinta
dan sikap saling menghormati. Tidak ada rindu yang menanti suami ketika
pulang dari bekerja. Tidak ada kasih yang hendak dicurahkan oleh suami
kepada isteri yang menanti di rumah. Anak-anak jadi kehairanan? Apa
sudah jadi pada kedua ibu-bapa ku?
Bila ada ego di hati, cinta
akan menjauh pergi. Retak akan menjadi belah. Kekadang hati keduanya
merintih, mengapa jadi begini? Bukankah antara aku dan dia ada cinta?
Mengapa terasa semakin jarak? Apakah yang perlu aku dan dia lakukan
untuk menyemarakkan semula rasa cinta. Lalu akal berfikir,
berputar-putar mencari idea. Oh, mari ulangi musim bulan madu yang lalu.
Kita susuri pulau, tasik, laut atau lokasi pertemuan kita nan dulu.
Malang,
cuma sebentar. Gurau, senda cuma seketika. Tidak mampu lagi memutar
jarum kenangan lama dengan hati yang telah berbeza. Tidak ada lagi
tarikan fizikal yang ketara. Cumbu berbaur ghairah seakan telah terlupa.
Bulan madu yang cuba diperbaharui tidak menjadi… kedua hati bercakar
lagi. Mereka cuba memperbaharui lokasi, tanpa memperbaharui hati. Selagi
ada ego, ke mana pun tidak akan menjadi. Jika ada ego, yang wangi jadi
busuk, yang manis jadi tawar, yang indah jadi hambar.
Ada juga
pasangan yang hendak ‘membeli’ cinta. Ingin dibangkitkan kembali rasa
cinta dengan mata benda. Nah, ini kalung emas ribuan ringgit sebagai
tanda cinta ku masih pada mu, kata suami. Dan ini pula cincin berlian
untuk memperbaharui kemesraan kita, balas siisteri. Masing-masing
bertukar hadiah. Semoga dengan barang-barang berharga itu akan
kembalilah cinta. Namun sayang sekali, sinar emas, cahaya berlian, tidak
juga menggamit datangnya cinta. Cinta diundang oleh nur yang ada di
hati. Nur itu tidak akan ada selagi ego masih ada di jiwa.
Susurilah cinta yang hilang di jalan iman. Buanglah kerikil ego yang
menghalang. Ego hanya membina tembok pemisah di antara dua hati walaupun
fizikal masih hidup sebumbung. Mungkin di khalayak ramai, masih
tersenyum dan mampu ‘menyamar’ sebagai pasangan yang ideal tetapi hati
masing-masing TST (tahu sama tahu) yang kemesraan sudah tiada lagi.
Pasangan
yang begitu, boleh menipu orang lain. Namun, mampukah mereka menipu
diri sendiri? Yang retak akhirnya terbelah. Penceraian berlaku. Mereka
berpisah. Masyarakat yang melihat dari jauh pelik, mengapa begitu mesra
tiba-tiba berpisah? Tidak ada kilat, tidak ada guruh, tiba-tiba ribut
melanda. Oh, mereka tertipu. Perpaduan yang mereka lihat selama ini
hanyalah lakonan. Allah membongkar rahsia ini menerusi firman-Nya:
“Kamu
lihat sahaja mereka bersatu tetapi hati mereka berpecah.”
Carilah
di mana Allah di dalam rumah tangga mu. Apakah Allah masih dibesarkan
dalam solat yang kau dirikan bersama ahli keluarga mu? Apakah sudah lama
rumah mu menjadi pusara akibat kegersangan zikir dan bacaan Al Quran?
Apakah sudah luput majlis tazkirah dan tarbiah yang menjadi tonggak
dalam rumah tangga? Di mana pesan-pesan iman dan wasiat taqwa yang
menjadi penawar ujian kebosanan, kejemuan dan keletihan menongkah arus
ujian?
Penyakit ego menimpa apabila hati sudah tidak terasa lagi
kebesaran Allah. Orang yang ego hanya melihat kebesaran dirinya lalu
memandang hina pasangannya. Hati yang ego itu mesti dibasuh kembali
dengan rasa bertauhid menerusi ibadah-ibadah khusus – solat, membaca Al
Quran, berzikir, bersedekah – dan paling penting majlis ilmu jangan
diabaikan.
Firman Allah:
“Dan berilah peringatan. Sesungguhnya
peringatan itu memberi manfaat kepada orang mukmin.”
Sedangkan orang
mukmin pun perlu diperingatkan, apatah lagi kita yang belum mukmin?
Iman itu seperti mana yang dimaksudkan hadis, boleh menambah dan
mengurang. Untuk memastikan ia sentiasa bertahan malah bertambah, hati
perlu berterusan bermujahadah. Lawan hawa nafsu yang mengajak kepada
ketakburan dengan mengingatkan bahawa Allah benci kepada orang yang
takbur walaupun sasaran takbur itu suami atau isteri sendiri.
Bila
terasa bersalah, jangan malu mengaku salah. Segeranya mengakuinya dan
hulurkan kata meminta maaf. Ular yang menyusur akar tidak akan hilang
bisanya. Begitulah suami yang meminta maaf kepada isterinya. Dia tidak
akan hilang kewibawaannya bahkan bertambah tinggi. Bukankah orang yang
merendahkan diri akan ditinggikan Allah derjat dan martabatnya? Justeru,
lunturkan ego diri dengan membiasakan diri meminta maaf. Tidak kira
ketika kita rasa kita benar, lebih-lebih lagi apabila terasa kita yang
bersalah.
Namun, lelaki yang tewas ialah lelaki yang sukar
mengaku salah. Dia sentiasa tidak ingin mengalah. Pada ketika itu dia
telah memiliki salah satu dari tiga ciri takbur yakni menolak kebenaran.
Akuilah kebenaran walaupun kebenaran itu berada di pihak isteri. Tunduk
kepada kebenaran ertinya tunduk kepada Allah. Jangan bimbang
takut-takut dikatakan orang takutkan isteri. Kita takutkan Allah. Allah
benci orang yang takbur.
Begitu juga isteri. Jika sudah terbukti
salah, akui sahajalah. Dalam pertelagahan antara suami dan isteri,
apakah penting siapa yang menang, siapa yang kalah? Kita berada di dalam
gelanggang rumah tangga bukan berada di ruang mahkamah. Kesalahan suami
adalah kesalahan kita juga dan begitulah sebaliknya. Rumah tangga wadah
untuk berkongsi segala. Perkahwinan satu perkongsian, bukan satu
persaingan. Kalau kita menang pun apa gunanya? Padahal, kita akan terus
hidup bersama, tidur sebantal, berteduh di bawah bumbung yang sama.
Mujahadahlah
sekuat-kuatnya menentang ego. Bisikan selalu di hati, Allah cintakan
orang yang merendah diri. Allah benci orang yang tinggi diri. Pandanglah
pasangan kita sebagai sahabat yang paling rapat. Kita dan dia
hakikatnya satu. Ya, hati kita masih dua, tetapi dengan iman ia menjadi
satu. Bukan satu dari segi bilangannya, tetapi satu dari segi rasa.
Sebab itu sering diungkapkan, antara makhluk dengan makhluk mesti ada
Khalik yang menyatukan. Ingat, hanya dengan iman, takbur akan luntur,
cinta akan subur!
MAAFKANKU WAHAI SUAMIKadang-kadang aku rasa
akulah
Isteri yang terlalu banyak menerima
Sedangkan engkau tak
pernah meminta
Kadang-kadang aku rasa
Akulah isteri yang baru
terjaga
Sedangkan engkau tak pernah terlena
Kadang-kadang ku
bersuara tanpa berfikir
semua perkataan ku menjadi salah
Datanglah
ke sini dan pegang tangan ku
Sementara ku cerita kehidupan isteri
Harap
dimengerti
Kadang-kadang ku sakiti hati mu
Bila ku tolak
sentuhan mu
Bukan bermaksud aku kurang menyayangi mu…
Namun
cabaran terlalu
Kadang-kadang aku berubah pada pandangan mu
Tapi
sayang, itu tidak benar
Tiada apa yang paling ku hargai
Daripada
kehidupan manis bersama mu
Kadang-kadang ku fikir sejuta tahun
Adalah
terlalu singkat
Hanya ku beritahu mu betapa sayangnya aku
Betapa
syukurnya aku…
kau pelindung ku
Kadang-kadang berjauhan dengan
mu
Akulah isteri yang terlalu tinggi bercita-cita…
Mencipta
kerukunan keluarga
Namun aku tetap aku yang ini…
Maafkan aku wahai
suami!
0 Comments:
Subscribe to:
Catat Ulasan (Atom)
.jpg)


